Apabila sebut perkataan zalim, ramai menganggap zalim hanyalah perbuatan oleh seseorang terhadap orang lain sahaja. Namun, zalim terhadap diri sendiri juga wujud. Malah, majoriti manusia di muka bumi ini pernah atau sedang menzalimi diri sendiri. Perspektif hari ini ingin merungkai topik menzalimi diri sendiri. Apakah itu zalim?
Berdasarkan istilah al-Quran, zalim bermaksud perbuatan melanggar hak orang lain. Misalnya, bersifat kejam, tidak berperikemanusiaan dan membuat orang lain menderita.
Kategori zalim:
- Zalim kepada Allah Swt
- Zalim kepada makhluk Allah seperti manusia, haiwan dan alam.
- Zalim terhadap diri sendiri.
Apakah itu menzalimi diri sendiri?
Zalim pada diri sendiri boleh dijelaskan sebagai orang yang melakukan perbuatan yang bercanggah dengan syariat Islam sedangkan dia tahu bahawa perbuatan itu adalah salah dan berdosa.
“Sesiapa yang tidak menghukum dengan hukum Allah, maka itulah orang yang zalim” (Surah Al-Ma’idah, ayat 45)
Tiga ciri orang yang menzalimi diri sendiri ialah:
- Mengumpul apa yang tidak berguna untuk dirinya sendiri.
- Bertambah-tambah dosanya sehingga membinasakan dirinya sendiri.
- Meninggalkan amal soleh yang dapat menyelamatkan dirinya.
Contoh-contoh orang yang menzalimi diri sendiri:
Tidak bersyukur atas nikmat kurniaan Allah. Nikmat Allah tak kira yang kecil mahupun yang besar haruslah sentiasa disyukuri. Allah pernah memberi peringatan supaya kita sentiasa bersyukur, “Sekiranya kamu bersyukur, nescaya aku akan menambah nikmat untukmu. Dan jika kamu kufur (atas nama-Ku), ingatlah azab daripada-Ku amat pedih. (Surah Ibrahim, ayat 7).
Syirik kepada Allah. Orang yang syirik atau mempersukutukan Allah dikatakan zalim kerana perbuatan ini memudaratkan diri sendiri bukannya Allah. Mereka yang syirik kepada adalah membuatkan dirinya berada di neraka buat selama-lamanya. “Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya semasa dia memberikan nasihat kepadanya: “Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain) sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah kezaliman yang besar” (Surah Luqman, ayat 13).
Derhaka terhadap ibu bapa. Menzalimi ibu bapa menyebabkan ibadat kita 'tergantung'. Beribadat dengan banyak dan berjihad sehingga mati syahid tetapi jika tidak mendapat keredaan ibu bapa, ia akan 'tergantung'. Malah, menzalimi ibu bapa adalah dosa paling besar sesama manusia. Justeru, menzalimi ibubapa akan menyebabkan kita perit di akhirat.
Lima perkara yang perlu dielakkan supaya kita tidak menzalimi diri sendiri:
- lebih-lebihan dan suka membazir.
- Putus harapan dalam berdoa.
- Menangguh tugasan atau kerja yang diberi.
- Tidak mendoakan orang lain.
- Malas bekerja
Referensi : Ilustrasi : Tidak Perlu Menzalimi Diri Sendiri